KUALA LUMPUR – Mereka yang gagal menjelaskan kompaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum 30 September lalu kini berdepan tindakan disenarai hitam yang akan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, DBKL telah menghantar sebahagian nama pesalah trafik khususnya yang mempunyai banyak tunggakan ke JPJ untuk tindakan tersebut.
“Bukan kami yang keluarkan senarai ‘blacklist’ itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Second Edition of SPARK – International Landscape Architecture Dialogue 2018 bersempena Kuala Lumpur Design Month (KUL DESIGN) di Biro Pelancongan Kuala Lumpur di sini hari ini.
DBKL sebelum ini melancarkan kempen yang menyaksikan tawaran diskaun sehingga 70 peratus untuk kompaun bagi pesalah trafik yang menjelaskan bayaran dalam tempoh 1 hingga 30 September lepas dengan sasaran kutipan RM100 juta, namun hanya RM2 juta berjaya dikutip DBKL. – Bernama











