KANGAR 26 Okt. – Jumlah pesakit yang dirujuk kepada Klinik Kepakaran Jantung di negeri ini telah menunjukkan peningkatan iaitu daripada 471 orang pada 2016 kepada 521 orang pada tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, peningkatan itu menunjukkan bahawa semua penduduk di negeri ini perlu segera mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat.
Katanya, ini turut merangkumi warga Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sendiri yang juga tidak terkecuali merekodkan kakitangan yang mengalami obesiti.
“Dalam ujian saringan yang dijalankan di Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) HTF pada tahun lalu, menunjukkan seramai 19 peratus mengalami obesiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia 2018 Peringkat negeri di HTF di sini hari ini.
Tambah Dr. Sirajuddin, menyedari tentang kepentingan melakukan pengesanan awal penyakit kardiovaskular, pihak HTF telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Hari Jantung Sedunia itu.
Katanya, objektif utama untuk melakukan pemeriksaan kesihatan kepada warga hospital dan orang awam.
“Ini seperti tekanan darah, ujian indeks jisim badan (BMI), tahap kolesterol, paras gula dalam darah yang seterusnya membolehkan kita menilai risiko penyakit kardiovaskular seseorang individu,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE










