KUALA LUMPUR 25 Okt. – Para perwakilan MCA yang dijangka bersidang pada 2 Disember depan sahaja layak untuk memutuskan sama ada ada parti tersebut harus kekal atau keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kepemimpinan parti tidak boleh membuat keputusan mengenai isu tersebut tanpa berbincang dengan seluruh ahli.
“Saya menyerahkan kepada ahli parti untuk menentukan masa depan parti.
“Bagi saya, isu itu sudah ada dalam manifesto MCA, saya menjelaskan tentang hala tuju parti ini, jadi kami serahkan kepada perwakilan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Isnin lalu, Ketua MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Sieu yang akan merebut jawatan Presiden parti menyatakan akan membawa MCA keluar daripada BN jika memenangi jawatan Presiden parti itu.
Selain Ping Sieu, Ka Siong turut mencalonkan diri bersama Ketua MCA Bahagian Beruas, Ngoo Teck Kiong. – UTUSAN ONLINE










