Peruntukan bayar hutang Pusat naik 356 peratus - Utusan Malaysia

Peruntukan bayar hutang Pusat naik 356 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 29 Okt. – Kerajaan Pas Kelantan memperuntukkan sebanyak RM27.4 juta iaitu peningkatan sebanyak 356 peratus dalam Belanjawan 2019 bagi membayar hutang kepada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, jumlah itu mewakili 64.63 peratus daripada perbelanjaan tanggu­ngan keseluruhan yang berjumlah RM42.39 juta.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan pembayaran sebanyak RM21.4 juta atau 356 peratus berbanding hanya sebanyak RM6 juta pada 2018.

“Ini menunjukkan kita sentiasa berusaha membayar hutang-hutang Kerajaan Persekutuan mengikut kemampuan aliran tunai kerajaan negeri pada setiap tahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Ahmad, Belanjawan 2019 yang bertemakan ‘Kemakmuran Negeri Ke­sejahteraan Rakyat’ menyaksikan perancangan perbelanjaan negeri adalah sebanyak RM1.09 bilion berbanding anggaran hasil sebanyak RM743.21 juta.

Katanya, defisit belanjawan itu adalah berjumlah RM35.07 juta iaitu menurun sebanyak RM6.67 atau 16 peratus berbanding RM41.74 juta defisit pada tahun lalu.

“Defisit belanjawan negeri turun secara konsisten dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini dan asas kepada penurunan defisit ini adalah pertambahan jumlah kutipan hasil yang disokong dengan urus tadbir yang baik diamalkan oleh jentera kerajaan negeri.

“Pengurangan defisit ini juga seiring dengan hasrat kerajaan untuk berbelanja secara berhemat dan mengikut keutamaan kerajaan serta dibuat selari dengan anggaran pendapatan tahun 2019,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas sesi pembentangan, Ahmad memberitahu, pihaknya merancang mengubah suai Belanjawan 2019 selepas Kelantan me­nerima royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.

Katanya, royalti minyak itu yang belum diketahui jumlah sebenar akan disebut sebagai ‘token’ dalam kutipan hasil negeri kelak dan ia diibaratkan sebagai sebuah ‘bekas’ yang disediakan pihaknya sebagai persiapan awal.

“Insya-Allah kita berdoa belanjawan itu akan berubah kelak. Kita yakin duit royalti akan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan kita akan buat rundingan susulan tidak lama lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN