Pertubuhan Kera Sakti haram - Utusan Malaysia

Pertubuhan Kera Sakti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Pertubuhan silat IKS PI Kera Sakti yang diamalkan 20 warga Indonesia, termasuk empat wanita selepas ditahan dalam Op Nyah 1 Selangor di Tanjung Sepat, Bagan Lalang, baru-baru ini didapati tidak berdaftar serta haram.

Perkara itu didedahkan polis Selangor selepas menjalankan siasatan dan mendapati pertubuhan silat tersebut merupakan sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Difahamkan juga pertubuhan itu disyaki terbabit dengan amalan pemujaan yang menyalahi syariat Islam selain menjadikan sebuah premis di sebelah kandang babi di Sepang pada 20 Oktober lalu sebagai markas operasi mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihak polis telah merujuk perkara ini kepada ROS dan siasatan awal mendapati pertubuhan seni bela diri itu tidak berdaftar dengan agensi tersebut.

Menurutnya, polis masih menunggu keputusan siasatan Jabatan Imigresen bagi menetapkan pertuduhan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan masih dilakukan dan buat masa ini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah dirujuk dan siasatan sedang dilakukan bagi mendapatkan pandangan agama.

“Kesemua suspek kini ditahan di lokap Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pertubuhan 1966 kerana disyaki terbabit dengan pertubuhan haram . – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN