KUALA LUMPUR – Rakuten Trade Sdn. Bhd. (Rakuten Trade) akan terus mempertingkatkan perkongsian pengetahuan dalam kalangan pelabur muda di negara ini khususnya berkaitan perdagangan sebagai usaha memperkukuhkan lagi jenama itu di Malaysia.
Rakuten Trade merupakan broker saham digital sepenuhnya yang pertama di Malaysia.
Syarikat yang ditubuhkan sejak Mei 2017 lalu itu merupakan usaha sama antara Kenanga Investment Bank Bhd. dengan Rakuten Securities Inc. dari Jepun.
Pengarah Urusan Rakuten Trade, Kaoru Arai berkata, sehingga kini, syarikat mempunyai lebih 20,000 pelanggan atau pemegang akaun iaitu peningkatan kadar berbanding 12,000 pemegang akaun dalam tempoh setahun ia beroperasi.
“Daripada keseluruhan jumlah tersebut, 79 peratus merangkumi pelanggan berusia di bawah 40 tahun dan 45 peratus bagi kumpulan yang tidak mempunyai pengalaman perdagangan sebelum ini.
“Kebanyakan mereka merupakan pedagang aktif justeru itu, jumlah berkenaan menunjukkan pelabur yang lebih celik digital di Malaysia bersedia mencuba pengalaman perdagangan baharu,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Menara Kenanga, Jalan Tun Razak di sini semalam.
Rakuten Trade akan menggiatkan lagi inisiatif untuk mengembangkan pengetahuan para pelabur menerusi pelbagai penganjuran seminar, persidangan FinTech dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Selain itu. Arai menjelaskan, syarikat menjangkakan peningkatan pemegang akaun yang lebih signifikan pada masa hadapan menerusi tawaran produk pendahuluan tunai dan perdagangan kontra dengan sokongan platform aplikasi mesra pengguna, iSPEED.my.










