KUALA LUMPUR 26 Okt. – Pertengkaran dalaman UMNO berkenaan kedudukan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menguntungkan mana-mana pihak malah akan mengundang kerugian besar kepada parti itu.
Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii berkata, setiap ahli parti berhak untuk menyatakan pendirian terhadap kemelut yang melanda.
“Pelik tetapi benar, sehingga sekarang, jika ada kritikan dan teguran dari ahli sendiri, ‘meriam’ malah senjata sekecil pistol pun akan digunakan dan dihalakan untuk menembak sesama sendiri. Keinginan mereka menembak sesama sendiri melebihi keinginan menembak musuh sebenar di depan mata.
“Pada pendapat saya, tidak ada salah Pemuda UMNO membuat ketetapan dan apa yang seharusnya dibuat oleh pucuk pimpinan parti adalah bawa berbincang, panggil mesyuarat Majlis Tertinggi, ambil konsensus dan berfikir secara positif.
“Apa sahaja keputusan yang dicapai selepas itu adalah keputusan mesyuarat dan inilah proses yang perlu dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










