Persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR terus sengit - Utusan Malaysia

Persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR terus sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 16 Okt. – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli percaya pertandingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR akan terus sengit hingga ke akhir pemilihan parti itu pada 10 November ini.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, persaingan antara beliau dan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan tetap rapat dengan dibezakan jumlah undi yang tipis.

“Persaingan tetap rapat dan akan terus sengit sampai akhir,” katanya kepada para pemberita selepas majlis Amanat Rafizi Ramli Sempena Pemilihan PKR 2018 di Senawang dekat sini malam ini.

Yang turut hadir, calon Naib Presiden, Datuk Johari Abdul dan calon Ketua AMK, Akmal Nasir.

Untuk rekod, sehingga kini, Mohamed Azmin mendahului persaingan itu dengan memperoleh 28,972 undi atau 50.65 peratus manakala Rafizi meraih 28,225 undi atau 49.35 peratus.

Rafizi berkata, beliau percaya baki sesi pemilihan di Selangor, negeri ini, Melaka, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak akan memihak kepada beliau.

Justeru itu, beliau meminta semua ahli PKR yang akan mengundi seperti telah dijadualkan menolak sebarang cubaan menyogok mereka dengan wang bagi meraih undi.

Jelasnya, berdasarkan kepada pemilihan yang sudah dibuat di enam negeri sehingga kini, pihaknya mengesan terdapat cubaan menawarkan wang kepada ahli.

“Tetapi saya tidak dapat kata sama ada ia serius atau tidak kerana perbuatan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah PKR.

“Ada laporan orang tawarkan RM100 untuk satu undi, saya sebut awal-awal kalau ada, tolak orang macam ini,” ujarnya.

Pemilihan PKR bagi negeri ini dijadualkan pada Sabtu ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN