SUBANG JAYA 5 Okt. – Syarikat pemaju yang menjalankan projek pembinaan di kawasan banjir kilat di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Bandar Puteri, Puchong Selasa lalu diarah membersihkan sistem perparitan tersumbat yang dipercayai menjadi punca kejadian itu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati salah satu daripada longkang di kawasan itu tersumbat dengan bongkah kayu dan sisa binaan yang menyebabkan air melimpah ke lebuh raya terbabit.
“Pihak kami mendapati pemaju telah melaksanakan kerja-kerja mengatasi kejadian daripada berulang dengan membina tembok longkang supaya limpahan air tidak berlaku semasa hujan lebat.
“MPSJ turut meminta kerjasama Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan,’’ katanya kepada pemberita selepas lawatan susulan kejadian banjir kilat di Jalan Puteri 4/2, Bandar Puteri di sini hari ini.
Yang turut hadir Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han.
Sementara itu Noraini menggesa orang ramai bertanggungjawab menjaga kebersihan longkang agar kejadian sama tidak berulang.
Dalam perkembangan sama, Sze Han pula berkata, sudah tiba masa kerajaan mengkaji penggunaan botol plastik minuman yang menjadi bahan utama pencemaran dalam sistem perparitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











