Permohonan Hasanah ditolak - Utusan Malaysia

Permohonan Hasanah ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid untuk mendapatkan hak diwakili dan dibela oleh peguam sebaik sahaja ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), gagal apabila permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Nordin Hassan dalam keputusannya memutuskan, hak Hasanah untuk diwakili peguam ketika dia ditahan reman, tidak berlaku serta-merta.

Menurut Hakim Nordin, isu tersebut telah diputuskan dalam nas undang-undang oleh mahkamah tertinggi negara.

“Sehubungan itu, mahkamah ini tiada sebarang alasan untuk menyimpang daripada keputusan yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini,” ujar Hakim Nordin.

Hasanah, 61, ditangkap oleh SPRM pada pukul 5 petang, 28 Ogos lalu dan keesokannya, dia dikenakan perintah reman selama enam hari berhubung kes salah guna wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hasanah sebelum ini mendakwa, haknya untuk berunding dengan peguam disekat di bawah Seksyen 28A(8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah.

Namun begitu, Hakim Nordin berpendapat, peruntukkan kedua-dua seksyen tersebut tidak bersalahan dengan undang-undang dan bukanlah suatu penafian mutlak untuk dirinya diwakili peguam.

Hakim Nordin, sehubungan itu menolak saman pemula yang difailkan Hasanah pada 30 Ogos lalu bagi mendapat perisytiharan bahawa dia berhak untuk diwakili dan dibela oleh peguam semasa ditahan reman SPRM.

Shaharudin pada 24 September lalu berhujah, sepanjang enam hari Hasanah ditahan reman, hak anak guamnya itu untuk berunding dengan peguam telah dinafikan SPRM menerusi sepucuk surat pemberitahuan bahawa haknya untuk berunding dengan peguam disekat di bawah Seksyen 28A(8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam Kanan Persekutuan, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol mewakili SPRM dan kerajaan yang dinamakan sebagai pihak responden. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN