ARAU – Pasangan suami isteri yang ditemui mati lemas bersama anak perempuan mereka di Sungai Arau, Khamis lalu didakwa memerlukan wang bagi melangsungkan perkahwinan anak lelaki mereka yang dirancang pada bulan ini.
Adik kepada salah seorang mangsa, Kamardin, 54, mendakwa pada dua bulan lalu, kakaknya, Norma Pin, 64, telah pulang ke kampung bersama anak lelakinya, Mohd. Zali Baharom, 37, yang kini dalam tahanan polis untuk meminjam sejumlah wang.
“Mereka tidak sebut pula jumlah wang yang ingin dipinjam tetapi kakak (Norma) ada menyebut ingin mencari duit untuk kahwinkan Mohd. Zali dengan seorang kenalan wanita dari Johor yang dikenali melalui laman sosial Facebook.
“Anak lelakinya telah memberikan sejumlah wang bagi melangsungkan perkahwinan mereka pada bulan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.
Dalam pada itu, Kamardin mendakwa, suami kakaknya, Baharom Ahmad, 66, dan anak perempuan mereka Norazalina Baharom, 35, mempunyai hutang dengan sebuah instisusi kewangan bagi membesarkan perniagaan mereka.
Difahamkan, Mohd. Zali satu-satunya mangsa yang terselamat kerana berubah fikiran daripada membunuh diri dengan meminum racun sebelum terjun ke dalam sungai pula didakwa berhutang sebanyak RM10,000 dengan suami Norazalina.
Kosmo! Online semalam melaporkan, tiga beranak yang lemas di Sungai Arau di sini kelmarin dipercayai meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan akibat bebanan hutang.
Ketiga-tiga mangsa itu ialah Baharom dan isteri, Norma serta anak perempuan mereka, Norazalina.
Bagaimanapun, anak lelaki mereka, Mohd. Zali yang merupakan seorang Orang Kelainan Upaya masalah pembelajaran berubah fikiran daripada membunuh diri selepas ketakutan apabila melihat ibu, bapa dan adiknya terjun ke dalam sungai berkenaan lalu mati lemas setelah dihanyutkan arus. – K! ONLINE









