Perkhemahan glamor mengujakan - Utusan Malaysia

Perkhemahan glamor mengujakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGINAP di hotel sepanjang percutian mungkin sudah membosankan. Ya…memang banyak penginapan hotel ditawarkan di seluruh negara. Ada yang memilih hotel bajet atau bertaraf lima bintang, sesuai dengan bajet mereka. Sejajar perkembangan industri pelancongan masa kini, lebih banyak pilihan penginapan menanti pengunjung. Jika mahukan sesuatu yang unik dan berbeza, menginap di dalam khemah seumpama bilik tidur boleh dialami di Gopeng Glamping Park (GGP). Pakej penginapan yang ditawarkan berbaloi dengan apa yang kita dapat.

Dibuka pada 1 Oktober 2018, menariknya GGP terletak dalam persekitaran menghijau dalam suasana kampung. Udara segar dan nyaman dengan deruan air sungai begitu mendamaikan.

Selain itu, masakan kampung yang enak dan aktiviti berbasikal di sekeliling kampung yang redup menjanjikan pengalaman percutian yang sukar dilupakan.

Jika semua itu yang kita inginkan, singgahlah bermalam di GGP. Pengurusnya, Mohd Nor Arif Mohd Azmi memberitahu idea mewujudkan tapak perkhemahan itu muncul selepas beliau tertarik dengan konsep perkhemahan glamor (glamping) yang menyediakan penginapan khemah yang selesa dan moden, seumpama bilik hotel. Menyedari keunikan tersebut dan berbekalkan hasil penyelidikan yang dilakukan sendiri, beliau mendapati perkhemahan glamor menerima permintaan tinggi.

“Ada sesuatu yang menarik jiwa saya di Gopeng ini. Bila sebut Gopeng, saya dapat merasakan aura positif yang menggamit saya untuk turut sama menggerakkan sektor pelancongan di pekan kecil ini.

“Saya mahukan kelainan yang tidak ada lagi di sini. Lantas saya terfikir kenapa tidak saya menawarkan percutian berkonsepkan perkhemahan glamor,” katanya kepada S2.

Mengimbas kembali kelahiran GGP, katanya, beliau dimaklumkan oleh seorang rakan baik, Mohd Hasrol Kamis (Ryoq) mengenai ada tanah nak dijual di Kampung Chulek, Gopeng. “Ryoq adalah pemilik Radak Adventure yang menawarkan aktiviti berakit arus deras dan beberapa aktiviti lain di sekitar Gopeng.

“Beliau beritahu saya tanah itu terletak di tepi Sungai Kampar dan tidak jauh dari jalan besar. Tanpa berlengah urusan pembelian dilakukan dan alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan,” tambahnya.

Namun Mohd Nor Arif terpaksa menunggu tiga tahun bagi mencukupkan modal untuk membuka GGP. Sedikit demi sedikit usaha dilakukan seperti membersihkan tapak, mendirikan struktur kekal seperti tandas, rumah induk, ruang memasak termasuk tempat membakar piza menggunakan dapur kayu dan sebuah kafe.

“Apabila semua itu sudah siap, barulah saya mendirikan khemah yang dibeli khas dari China. Sebuah khemah boleh memuatkan empat orang. Terdapat dua tilam queen di dalamnya,” katanya.

Khemah itu turut dilengkapi dengan bantal, selimut, kipas angin, rak, lampu, penyangkut baju, sejadah, alas kaki, tikar dan plag untuk mengecas bateri telefon atau kamera.

Perkhemahan glamor itu merupakan yang pertama di Gopeng dan dalam percutian itu, kita boleh melakukan aktiviti seperti berakit arus deras, abseiling air terjun, meneroka gua, mendaki, treking atau sekadar bersantai sambil menikmati pemandangan sekitar yang menghijau.

“Aktiviti lasak itu diadakan dengan kerjasama Radak Adventure. Tambahan bayaran dikenakan mengikut jenis aktiviti yang dilakukan,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN