KUALA LUMPUR 16 Okt. – Perjumpaan bersama peminat pelakon utama drama bertemakan homoseksual, SOTUS: Ths Series Sabtu ini di Auditorium Muzium Negara dinasihatkan dibatalkan atas sebab keselamatan.

Syarikat terbabit Maher Seni Production Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan melalui Instagram berkata, kehadiran pelakon utama drama itu Kirst dan Singto telah menjadi isu nasional dan melibatkan pihak berkuasa dan kerajaan.
“Disebalik usaha terbaik kami untuk menyelesaikan isu ini dengan pihak berkenaan, Maherseni dinasihatkan agar membatalkan perjumpaan ini disebabkan ancaman keselamatan nasional dan isu sensitif.
“Kami membatalkannya selepas mengambil kira keselamatan artis, pihak pengurusan mereka serta peminat tempatan dan antarabangsa,” kata Maherseni.
Dalam kenyataan tersebut, Maherseni turut berkata, tiada pemulangan bayaran tiket kepada peminat kerana arahan pembatalan dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Peminat dikenakan bayaran masuk RM500 dan RM700 dalam majlis perjumpaan ‘Kissing Krist & Singto 1st Fan Meeting in Malaysia”.
Perjumpaan bersama peminta Krist dan Singto menjadi kontroversi apabila poster promosi dengan perkataan ‘Kissing Krist & Singto ditularkan di media sosial oleh pihak yang tidak bersetuju dengan kehadiran pelakon drama bertemakan LGBT tersebut.
“Perjumpaan bersama peminat telah ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan kapsyen bahawa perjumpaan tersebut mempromosikan gay dan menyokong acara gay.
“Lebih memburukan keadaan mereka ini tidak melakukan sebarang usaha untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan dari Maherseni mengenai situasi sebenar majlis tersebut,” kata kenyataan itu.
Utusan Online masih berusaha mendapatkan penjelasan dari pihak Maherseni melalui mesej di Instagram Mahersenisdnbhd.
Jabatan Muzium Malaysia dalam satu kenyataan semalam menyatakan penganjur tidak menyatakan nama artis yang terlibat.
Syarikat tersebut hanya memberitahu program terlibat bertujuan memperkenalkan Malaysoa kepada peminat-peminat artis Thailand yang hadir dari negara-negara Asia.
Jabatan Muzium Negara menegaskan pihak mereka tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berkaitan LGBT.
SOTUS: The Series mula ditayangkan pada 20 Ogos 2016 dan mendapat sambutan hangat di Thailand. Dalam drama tersebut Singto memegang watak Kongpob Suthiluck manakala Krist membawa watak Arthit Rojnapat.
Arthit Rojnapat merupakan pelajar senior yang mempunyai sifat suka membuli manakala Kongpob Suthiluck pula pelajar junior di sebuah Fakulti Kejuruteraan.
Setiap pelajar junior perlu melalui S.O.T.U.S iaitu akronim untuk Seniority, Order, Tradition, Unity dan Spirit untuk diterima masuk ke dalam Fakulti Kejuruteraan.
Kongpob Suthiluck terpaksa berhadapan dengan Arthit Rojnapat bagi membolehkan beliau diterima di fakulti tersebut. Hubungan senior-junior yang pada mulanya tegang dan bermusuhan kemudiaannya bertukar kepada hubungan romantik.- UTUSAN ONLINE









