KOTA KINABALU – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang akan berakhir hari ini dilanjutkan hingga 12 November, bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu dari pukul 6 petang hingga 6 pagi.
“Perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
“Perintah berkurung berkenaan adalah untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – Bernama










