KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadual mengadakan lawatan ke Singapura pada 12 November ini yang antara lain bagi membincangkan isu perjanjian air dengan republik itu.
Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya berkata, kerajaan bertegas dengan pendirian untuk terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan Singapura bagi mengkaji semula harga air yang dibekalkan kepada negara berkenaan.
“Kita akan terus beri komitmen, saya harap dengan kerjasama semua anggota Parlimen akan dapat beri kekuatan atas usaha kembalikan harga sepatutnya kepada kerajaan Malaysia,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohd. Shahar ingin tahu tentang titik noktah yang ditetapkan bagi perbincangan semula harga air yang dibekalkan kepada Singapura.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata, berdasarkan peruntukan dalam Perjanjian Air 1961 dan 1962, harga air mentah yang dibekalkan oleh Malaysia pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen itu boleh dikaji semula selepas 25 tahun. – Bernama










