KOTA BHARU 30 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed dapat memainkan peranan sebagai ‘jambatan’ di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan sekiranya diberikan kedudukan oleh Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, namun sehingga kini peranan tersebut masih samar kerana Mustapa yang merupakan wakil tunggal PH dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti pemerintah itu.
Beliau mengakui Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli memainkan peranan yang baik menjadi ‘jambatan’ semasa mewakili Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Kalau beliau hanya jadi wakil rakyat biasa (tanpa jawatan tertentu), saya fikir tak banyak perkara yang beliau boleh buat.
“Kita tidak boleh nak kata apa-apa, kita tidak tahu (peranan dimainkan Mustapa) jadi kita tengok dulu, sebab dewan (Sidang DUN) pun dia belum masuk sampai hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pagi sidang DUN Kelantan, di sini hari ini.
Sebelum PRU-14, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memainkan peranan yang amat besar untuk merapatkan hubungan di antara kerajaan Pusat dan negeri.
Sumbangan yang terbesar Mustapa adalah ketika Bah Kuning pada penghujung 2014 apabila beliau yang mewakili Kerajaan Pusat membantu memulihkan semula negeri ini yang terjejas teruk akibat malapetaka tersebut melalui jawatankuasa bersama yang dipengerusikan oleh beliau dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. – UTUSAN ONLINE










