Perak waspada ancaman Sabah - Utusan Malaysia

Perak waspada ancaman Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic tidak akan memandang mudah perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2018 menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu esok.

Bekas pemain antarabangsa Australia itu berkata, Sabah tetap mempunyai banyak kelebihan apabila bermain di tempat sendiri termasuk sokongan penyokong setia skuad Sabah Rhinos selain pemain yang boleh beraksi dengan baik di atas padang.

“Perlawanan ini sudah pasti tidak mudah bagi kami. Secara jujurnya, kelebihan lima gol kami peroleh sebelum ini boleh dipadam bila-bila masa sekiranya pemain tidak beraksi dengan baik.

“Oleh itu, saya akan memilih pemain terbaik untuk beraksi di Stadium Likas walaupun empat pemain Perak tidak menyertai latihan bersama beberapa kali sebelum ini kerana mewakili negara,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Ipoh.

Tambah Durakovic, walaupun membawa bekalan selesa lima jaringan yang boleh diumpamakan seperti sebelah kaki di peringkat akhir, dia sendiri secara jujurnya menganggap perlawanan tersebut sama seperti aksi lain yang bermula dengan angka 0-0.

“Saya sering memberitahu pemain untuk beraksi dengan baik dan ketepikan kelebihan yang diperoleh di Stadium Perak, Ipoh sebelum ini,” katanya.

Durakovic juga berharap semua pemain The Bos Gaurus yang mewakili negara dan pemain utama lain tidak mengalami sebarang kecederaan pada sesi-sesi latihan terakhir sekali gus boleh beraksi dengan cemerlang pada perlawanan tersebut.

“Hanya pemain terbaik yang akan turun beraksi di Stadium Likas dan kami hanya mahukan kemenangan walaupun bermain di hadapan ribuan penyokong setia Sabah.

“Saya percaya dengan latihan yang konsisten dan disiplin tinggi daripada pemain akan menghasilkan kejayaan kepada Perak sekali gus mara ke peringkat akhir,” katanya.

Empat pemain Perak yang menyertai skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa ialah penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, dua pemain pertahanan, Shahrul Saad dan Amirul Azhan Aznan serta pemain tengah, Nasir Basharudin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN