Perak, Selangor rebut Mehmet - Utusan Malaysia

Perak, Selangor rebut Mehmet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Sama ada Perak ataupun Selangor hanya tuan empunya badan Mehmet Durakovic yang menjadi penentu untuk memilih pasukan mana yang akan dikendalikannya pada musim depan.

Desas-desus kini bertiup kencang mengatakan pengendali dari Australia itu bakal kembali menjadi jurulatih Selangor musim depan.

Mehmet semalam baru sahaja membantu Perak menamatkan penantian 18 tahun menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu di Stadium Shah Alam.

HASNUL ZULKARNAIN
HASNUL ZULKARNAIN 

Dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu, Mehmet diasak dengan soalan sama ada khabar tersebut benar atau tidak, namun jurulatih berusia 53 tahun itu tidak menafikan atau mengiyakan, sebaliknya enggan mengulas.

Begitupun Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menerusi presidennya, Hasnul Zulkarnain Munaim hari ini berkata, Mehmet secara lisan bersetuju untuk terus mengemudi Perak musim depan.

“Sewaktu saya mengambil alih kepemimpinan Pafa, saya berkata kepada Mehmet bahawa saya akan menyambung kontraknya jika dia berjaya membawa Perak ke final Piala Malaysia.

“Apabila menang sudah tentu kontraknya akan disambung malah secara lisan dia memberitahu akan kekal di Perak,” katanya.

Berdasarkan kenyataan Presiden Pafa, Mehmet boleh sahaja menafikan khabar angin tersebut dengan mengiyakan kedudukannya untuk kekal bersama Perak yang sudahpun membuka luas pintu bagi menerima kehadirannya.

Bagaimanapun bekas pemain Selangor itu terus bermain teka-teki ketika diajukan soalan tersebut.

Utusan Malaysia kemudian cuba mendapatkan reaksi berhubung kedudukan Mehmet ke Red Giants, namun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon enggan bersikap ‘terlebih sudu daripada kuah’.

“Perkara sebegini saya tidak boleh beri kenyataan. Biarlah Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang akan mengumumkannya selepas mengadakan perbincangan bersama Exco dalam masa terdekat,” ujarnya.

Mehmet meninggalkan Selangor dengan kesan mendalam apabila berjaya merealisasikan misi 33 Red Giants pada 2015, namun adakah pengendali itu akan mengulangi perkara sama selepas membantu Bos Gaurus menamatkan badi 18 tahun di Piala Malaysia?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN