Perak lancar modul poligami - Utusan Malaysia

Perak lancar modul poligami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) secara rasminya melancarkan modul kefahaman poligami yang merangkumi slot seminar kekeluargaan, kursus pasca kekeluargaan dan praperkahwinan yang pertama di negara ini.

Pengenalan modul itu bertujuan memberi kefahaman jelas mengenai poligami sekali gus dapat mengurangkan permasalahan kekeluargaan dalam institusi poligami.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, pengenalan modul itu bukan menggalakkan poligami namun, ia bertujuan untuk mengelak salah faham terhadap pengamalannya yang diharuskan oleh Islam.

“Kita takut berdosa kerana menghalang poligami dengan faktor-faktor tertentu disebabkan kita tidak faham dan sebagainya.

“Jadi, JAIPk ingin memperbetulkan kefahaman terhadap kedua-dua pihak, sama ada lelaki yang akan berpoligami, isteri yang akan menerima madunya dan wanita yang akan menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian seminar mendepani cabaran keibubapaan bagi memahami dan membentuk peribadi cemerlang anak peringkat negeri Perak di Institut Tadbiran Islam (Intim) Perak di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pendidikan Islam, Industri Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi.

Pada majlis tersebut, JAIPk melancarkan modul kefahaman poligami dan laman web cari jodoh Cinta Sakinah.

Isi kandungan modul kefahaman poligami tersebut yang turut digubal oleh panel wanita merangkumi definisi dan hukum poligami, hikmah poligami, kelebihan poligami, sebab-sebab poligami syarie, syarat-syarat poligami serta salah faham dan nasihat mengenainya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN