Perak Julang Piala malaysia - Utusan Malaysia

Perak Julang Piala malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERAK mengulangi memori Piala Malaysia 1998 apabila menewaskan Terengganu Football Club I (TFC I) menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 pada aksi final penuh dramatik di Stadium Shah Alam malam tadi.

Perlawanan epik itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan 10 pemain, menjadi final diingati selepas terikat 3-3 sepanjang 120 minit yang mana kali terakhir Perak pernah menewaskan Terengganu 5-3 pada penentuan sepakan penalti 20 tahun lalu.

Dalam aksi di depan lebih 60,000 penonton itu, pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim melakar kejutan awal apabila meledak gol ketika permainan baru berusia 40 saat menerusi gerakan lincah kapten, Tchetche Kipre.

Bintang Ivory Coast itu bijak memanfaatkan kesilapan yang dilakukan pemain pertahanan Perak, Shahrul Saad yang cuba membuat hantaran ke belakang tetapi berjaya dipintas oleh Kipre yang mudah menewaskan penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Jothy.

Dalam keghairahan skuad kendalian Mehmet Durakovic memburu gol penyamaan akhirnya dihukum sekali lagi oleh Kipre yang menggandakan kedudukan pada minit ke-41.

Kipre sekali lagi memanfaatkan kesilapan komunikasi di antara Hafizul dengan pemain-pemain pertahanan Perak yang menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu mudah menolak bola masuk bagi gol kedua wakil Pantai Timur tersebut.

Bersambung di babak kedua permainan, Perak akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-46.

Berselang 10 minit kemudian, malang menimpa buat pasukan The Bos Gaurus yang terpaksa bermain 10 pemain apabila penyerang import mereka, Gilmar Da Silva diarahkan keluar padang gara-gara bertelagah dengan Igor Zonjic.

Drama final Piala Malaysia menjadi semakin panas apabila giliran TFC I pula bermain 10 pemain selepas Lee Tuck dilayangkan kad kuning kedua gara-gara mengasari pemain Perak pada minit ke-66.

Saat yang dinantikan Perak akhirnya tiba sejurus Brendan Gan kembali menceriakan penyokong-penyokong The Bos Gaurus dengan meledak gol penyamaan sekali gus menjadikan kedudukan terikat 2-2 dalam masa kecederaan.

Namun, kegembiraan Perak tidak bertahan lama apabila rembatan cantik Mohd. Faiz Mohd. Nor menerusi serangan pantas daripada pasukan TFC I berjaya menewaskan Hafizul buat kali ketiga pada minit ke-96, sekali gus menyaksikan keputusan 3-2 memihak kepada skuad Penyu.

Bagaimanapun, Perak sekali lagi mempamerkan magis apabila kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri Zonjic pada masa kecederaan dan mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Hafizul muncul sebagai wira Perak selepas menggagalkan dua sepakan penalti yang gagal disempurnakan oleh Zonjic dan Thierry Chanthacheary Bin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN