SHAH ALAM 27 Okt. – Tiga kali ketinggalan dan satu jaringan dibatalkan pengadil, bagaimanapun tidak mematahkan semangat Perak yang mempamer kebangkitan luar biasa untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia pertama dalam tempoh 18 tahun dengan menundukkan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 di Stadium Shah Alam, hari ini.
Selepas dua kali Perak berada di ambang kekalahan, gol sendiri pertahanan Terengganu, Igor Zonjic pada minit ke-121 mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3.
Penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul yang dipersalahkan atas dua jaringan Terengganu pada babak pertama bagaimanapun muncul wira pasukannya dengan menyelamatkan dua sepakan penalti.
Selepas Terengganu selesa mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi dua jaringan ketua pasukan, Kipre Tchetche, Perak mempamer kebangkitan hebat di separuh masa kedua menerusi Muhd. Firdaus Saiyadi pada minit ke-46, diikuti rembatan cantik Brendan Gan, dua minit memasuki waktu kecederaan.
Begitupun, Terengganu tidak menunggu lama untuk kembali berada di depan apabila Faiz menewaskan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang gagal ditepis penjaga gol, Hafizul Hakim, dua minit selepas masa tambahan bermula.
Sebaik sahaja masa tambahan bermula, Terengganu kelihatan cerah untuk menjulang trofi pertama dalam tempoh 17 tahun selepas pemain tengah, Mohd. Faiz Nasir meledak gol ketiga menerusi rembatan cantik, malangnya jaringan sendiri Zonjic mengubah segala-galanya.
Kemenangan ini melunaskan dendam Perak yang tewas kepada Terengganu 1-2 ketika kali terakhir mereka bertemu di pentas final Piala Malaysia pada 2001.
Perlawanan juga berlangsung penuh dramatik apabila pada minit ke-31 gol penyamaan Perak menerusi Leandro dos Santos menerusi tandukan tidak dibenarkan pengadil, Suresh Jayaraman kerana mendakwa pemain itu mengkasari penjaga gol, Mohd. Suffian Ab Rahman Kungi Raman.
Lega dengan keputusan tersebut, Terengganu mengatur serangan untuk mencari gol kedua, dan kegugupan pemain Perak semakin terserlah apabila kesilapan Hafizul Hakim membenarkan Tchetche menggandakan kedudukan pada minit ke-41.
Aksi babak kedua berlangsung tegang apabila dicemari dua insiden kad merah. Bintang penyerang Perak, Gilmar da Silva menjadi penerima pertama pada minit ke-56 selepas bergaduh dengan pemain Terengganu.
Bagaimanapun, sembilan minit kemudian, giliran skuad Penyu pula beraksi dengan 10 pemain selepas bintang penyerangnya, Lee Tuck dilayangkan kad kuning kedua kerana mengkasari Brendan.










