SHAH ALAM 27 Okt. – Terlalu lama tidak melihat kelibat pasukan mereka beraksi di pentas final Piala Malaysia membuatkan penyokong Terengganu dan Perak cukup bersemangat apabila tiba di Stadium Shah Alam, hari ini.
Ribuan penonton yang memakai baju hitam putih (Terengganu) dan kuning hitam (Perak) mmemenuhi segenap tempat duduk di stadium yang mampu menempatkan 80,000 orang.
Seawal pukul 3 petang, penyokong sudah mula tiba di Stadium Shah Alam, malah hujan lebat tidak sedikitpun menjejaskan keterujaan mereka untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
Gelagat penonton juga menceriakan perlawanan yang berlangsung sengit pada babak pertama, yang mana Terengganu membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Kipre Tchetche.
Kali terakhir Perak muncul juara Piala Malaysia adalah pada 2000, manakala Terengganu mengalahkan Perak 2-1 pada final 2001. – UTUSAN ONLINE










