Penyokong tegar Trump ditangkap - Utusan Malaysia

Penyokong tegar Trump ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang penyokong tegar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ditahan dan didakwa kelmarin selepas didapati menghantar 13 bom paip melalui rangkaian mel kepada pengkritik beliau dalam satu serangan terbaharu menjelang pilihan raya.

 

Cesar Sayoc, 56, (gambar kecil) yang merupakan ahli berdaftar Parti Republikan memiliki sejarah jenayah dan dilaporkan pernah bekerja sebagai penari bogel selain disahkan dilahirkan di bandar raya ini.

Dia dipercayai tinggal di dalam sebuah van yang dihiasi de­ngan pelekat pro-Trump dan antiliberal. Bagaimanapun, dia berjaya ditahan di luar sebuah pasar raya di Florida.

Susulan itu, van ber­kenaan turut disita, manakala Sayoc didakwa atas lima jenayah persekutuan termasuk menghantar mel bahan letupan selain pernah mengancam bekas Presi­den AS, Barack Obama, kata Peguam Negara AS, Jeff Sessions.

Sayoc didapati bersalah kerana me­ngirim bahan letupan rangkai­an mel kepada 11 pengkritik Parti Demokrat dan Liberal termasuk Obama dan se­teru Trump dalam Pilihan Raya AS 2016, Hillary Clinton serta agensi berita CNN yang banyak mengkritik Presiden AS itu.

Justeru, Sayoc kini berhadapan de­ngan hukuman penjara selama 48 tahun dengan kedua-dua pemimpin parti politik mengutuk jenayah yang disifatkan sebagai keganasan domestik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN