Penyelia syarikat didakwa pecah amanah lebih RM1juta - Utusan Malaysia

Penyelia syarikat didakwa pecah amanah lebih RM1juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang penyelia syarikat perumahan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan pecah amanah bernilai hampir RM1 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Wong Tze Wei, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim G.Ramesh.

Berdasarkan pertuduhan, Tze Wei yang merupakan penyelia sebuah syarikat perumahan di Jalan Era Square 4 di sini melakukan pecah amanah bernilai RM922,500 antara 27 Januari 2016 hingga 25 April 2016. 

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan. 

Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan wang jaminan bagi semua pertuduhan itu namun, memohon wang jaminan tinggi jika mahkamah membenarkan atas alasan pertuduhan dibuat berdasarkan waran tangkap. 

Peguam, J.Ravin yang mewakili Tze Wei dalam rayuannya berkata, walaupun kes itu dilaporkan pada tahun 2016, tertuduh tidak pernah melarikan diri ketika ada urusan kerja di luar negara. 

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM70,000 bagi semua pertuduhan dan mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Campbell pada Ahad minggu pertama setiap bulan. 

Kes disebut semula pada 26 November ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN