Penyelia didakwa pecah amanah hampir RM1 juta - Utusan Malaysia

Penyelia didakwa pecah amanah hampir RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASAH 30 Okt. – Seorang penyelia syarikat perumahan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas 17 pertuduhan pecah amanah bernilai hampir RM1 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Wong Tze Wei, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim G. Ramesh.

Berdasarkan pertuduhan, Tze Wei yang merupakan penyelia sebuah syarikat perumahan di Jalan Era Square 4 di sini melakukan pecah amanah bernilai RM922,500 antara 27 Januari 2016 hingga 25 April 2016.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM70,000 bagi semua pertuduhan dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Campbell, Seremban pada Ahad minggu pertama setiap bulan. Kes disebut semula pada 26 November ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN