Penyanyi Sinead O’Connor memeluk agama Islam - Utusan Malaysia

Penyanyi Sinead O’Connor memeluk agama Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Nothing Compares 2 U, Sinead O’Connor memeluk agama Islam dan kini dikenali dengan nama Shuhada Davitt.

O’Connor, ibu kepada empat orang anak, berasal dari Ireland juga merupakan seorang komposer, berkongsi berita itu menerusi akaun Twitter @MagdaDavitt77 yang mana akaun Twitter @SineadOconnorHQ telah tidak aktif sejak 2014.

Anak kelahiran Dublin yang berusia 52 tahun itu memberitahu, beliau bangga menjadi seorang Islam.

“Inilah kesimpulan yang dibuat oleh mana-mana ahli teologi yang pintar. Semua kajian dalam kitab-kitab menjurus ke arah Islam yang menjadikan kitab-kitab lain tiada apa-apa kelebihan,” catat O’Connor dalam akaun twitter yang turut memuat naik rakaman video cubaannya untuk qamat.

Bercerita lebih lanjut tentang cubaannya untuk qamat, O’Connor yang diselubungi dengan perasaan sebak berkata, terdapat beberapa sebutan yang perlu diperbaiki dan beliau berpendapat, ramai lagi yang melalui frasa yang dilalunya sekarang.

“Saya mohon maaf dalam qamat yang tidak sempurna kerana ini adalah cubaan pertama saya. Apabila saya melatih diri saya 30 kali kelak, saya mampu melakukannya dengan sempurna,” jelasnya.

Selepas memeluk agama Islam, O’Connor buat pertama kalinya menerima pemberian daripada seorang rakan untuknya berhijab.

“Elaine sahabat baik saya telah menghadiahkan hijab kepada saya dan apabila saya memakainya, dia merasa gementar di seluruh tubuh,” katanya.

Sinead O’Connor melakar populariti sekitar tahun 1980an menerusi album berjudul The Lion And the Cobra. Beliau telah merakam dan melahirkan 10 buah album.

Pencapaian terbaik dalam karier nyanyiannya apabila lagu Nothing Compares 2 U diberikan susunan muzik baharu pada tahun 1990 dan mendapat sambutan hangat daripada peminat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN