OTTAWA 24 Okt. – Percubaan seorang penyanyi rap Kanada melakukan aksi ngeri pada bahagian sayap sebuah kapal terbang semasa menjalankan rakaman video muzik berakhir dengan tragedi apabila dia terjatuh dari pesawat itu.
Menurut kenyataan pasukan pengurusan penyanyi itu, Jon James, 33, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian semasa insiden ‘berjalan atas sayap pesawat’ di Vernon, British Columbia, Sabtu lalu.
“James berlatih secara intensif untuk melakukan aksi ngeri itu, namun selepas dia keluar menuju ke sayap pesawat Cessna berkenaan, kapal terbang menjadi tidak stabil.
“Ini mengakibatkan James terjatuh, namun dia sempat berpaut pada sayap pesawat dan pada ketika dia melepaskan pegangannya, dia tidak sempat menarik payung terjunnya,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu disiarkan serentak dengan pelancaran kutipan derma untuk kos pengebumian dan penyiaran lagu baharu James.
James turut menempa nama sebagai penerjun bebas yang kompetitif dan terkenal kerana melakukan aksi ngeri melampau.
Sementara itu, Polis Diraja Kanada mengesahkan insiden kematian mengejut melibatkan seorang penerjun pada petang Sabtu lalu.
CTV melaporkan, pesawat dan juruterbang berjaya mendarat semula dengan selamat. – AFP










