PUTRAJAYA – Penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca kematian utama rakyat Malaysia dengan bilangan kematian sebanyak 13,503 atau 13.9 peratus pada tahun lepas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata, laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2018 menunjukkan jumlah itu meningkat sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun 2016.
“Penyakit jantung iskemik merupakan sebab kematian utama di 70 daerah dan peratusan tertinggi dicatatkan di daerah Alor Gajah, Melaka iaitu 19.8 peratus,” katanya.
Katanya, penyakit pneumonia dikenal pasti sebagai sebab kematian kedua tertinggi dengan 12.7 peratus diikuti penyakit berkaitan angin ahmar (7.1 peratus), kemalangan jalan raya (4.6 peratus) dan malignant neoplasm (ketumbuhan dengan kanser) pada trakea, bronkus dan paru-paru (2.2 peratus).
“Pneumonia pula merupakan sebab kematian utama di 64 daerah dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Kota Setar, Kedah iaitu 21.9 peratus,” katanya. – Bernama










