Penubuhan tribunal siasat SPR tidak lagi berbangkit - Utusan Malaysia

Penubuhan tribunal siasat SPR tidak lagi berbangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Isu penubuhan tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika menguruskan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lagi berbangkit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, ia berikutan pelantikan Pengerusi SPR yang baharu, Azhar Azizan @ Harun berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 dan tindakan timbalan pengerusi serta empat anggota suruhanjaya itu memendekkan tempoh perkhidmatan masing-masing.

“Buat masa ini berdasarkan perkembangan terkini mengenai peletakkan jawatan anggota-anggota SPR, maka isu penubuhan tribunal tidak berbangkit lagi.

“SPR sedang menjalankan proses pembaharuan, saya yakin Azhar akan menambah baik proses SPR dan memberi idea-idea dalam menyelesaikan masalah terdahulu,” katanya ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Vui Keong berkata, pelantikan Azhar telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan yakin semua pihak bersetuju dengan tindakan tersebut.

“Walaupun Azhar aktivis tapi beliau akan menjalankan tugas secara profesional supaya Malaysia Baharu dapat transformasi SPR dengan lebih bertanggungjawab sekali gus masalah lalu tidak berulang,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai jaminan Pengerusi SPR baharu dapat menjalankan tugas secara adil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN