SAUDARA PENGARANG,
Tahniah diucapkan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mengambil langkah proaktif baru- baru ini untuk mengurangkan beban para guru di sekolah.
Memandangkan portfolio menteri juga meliputi institusi pengajian tinggi dalam negara, maka pihak menteri juga disaran mengambil langkah proaktif yang sama dengan memastikan beban tugas dan tanggungjawab ahli akademik atau pensyarah universiti dikurangkan bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk melakukan tugas dan tanggungjawab hakiki. Di samping memberi tumpuan aspek pembelajaran terhadap para pelajar, mereka juga melaksanakan proses penyelidikan dan kajian ilmiah bagi membantu masyarakat dan membangunkan negara.
Tugas pensyarah di universiti adalah berat kerana mereka bukan sahaja perlu memastikan para pelajar memiliki asas pengetahuan mengenai sesuatu bidang pengajian yang diikuti malah harus memastikan para pelajar memiliki kemahiran bidang pengajian mereka. Bagi menghasilkan seorang pelajar yang benar-benar berkualiti, tumpuan penuh haruslah diberikan oleh ahli akademik dan pensyarah.
Pensyarah yang berkualiti akan mengambil kira pelbagai aspek penting semasa menyampaikan ilmu pengetahuan. Seseorang pensyarah perlu diberi banyak ruang bagi melakukan persediaan mental dan fizikal yang baik sebelum mereka mengajar atau melakukan sebarang proses kajian. Sekiranya seseorang pensyarah diberi ruang yang secukupnya melakukan proses persediaan untuk mengajar dan melakukan proses kajian ilmiah, ia akan memberi impak positif terhadap proses pembelajaran dan hasil kajian ilmiah yang dijalankan.
Tidak dapat dinafikan kadangkala, tumpuan para pensyarah terganggu dengan kerja-kerja kerani sama seperti golongan guru. Mereka diberi tugasan di belakang tabir bagi menjayakan sesuatu program atau aktiviti tertentu yang dianjurkan oleh pihak fakulti yang memakan masa dan memerlukan tenaga yang banyak.
Ini sekali gus mengganggu tumpuan pensyarah terhadap tugas dan tanggungjawab hakiki mereka terhadap para pelajar. Pihak kementerian juga disaran menilai kembali senarai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ada di setiap universiti kita sama ada realistik untuk laksanakan ataupun tidak. Setiap universiti memiliki latar belakang yang berbeza, matlamat penubuhan yang berbeza, bilangan tenaga pakar yang berbeza serta yang paling penting peruntukan kewangan yang berbeza dan jumlah dana yang dimiliki yang berbeza. Dengan adanya perbezaan ini, amat sukar untuk sesebuah universiti itu memenuhi KPI yang telah ditetapkan ini.
Penilaian terhadap KPI ini adalah penting bukan sahaja bagi memastikan pensyarah tidak terbeban dengan tugasan yang melebihi kemampuan yang dimiliki malah memastikan ahli akademik tidak hadapi stres atau tekanan yang melampau sehingga boleh menjejaskan kesihatan diri mereka.
Pihak Kementerian Pendidikan disaran turun padang dengan mengadakan sesi pertemuan dengan para pensyarah di universiti bagi mengenal pasti dengan lebih terperinci lagi sebarang beban tambahan yang dihadapi oleh pensyarah pada masa kini serta mengambil satu langkah yang proaktif bagi mengurangkan beban yang dihadapi oleh tenaga pengajar di universiti.
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
USIM










