KUALA LUMPUR 26 Okt. – Seorang penjual burger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki sebilah parang di tempat awam, Sabtu lalu.
Muhammad Shahfimi Salleh, 24, didakwa memiliki parang berhulu hitam berukuran 44 sentimeter dari hulu ke hujung mata di tempat awam yang merupakan senjata berbahaya dan gagal membuktikan maksud yang sah ke atas senjata tersebut.
Dia yang masih bujang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di tepi jalan Jalan Kia Peng berhadapan Vipod Residences KLCC, di sini kira-kira pukul 9.30 malam, 20 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan selain menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE









