ALOR SETAR – Seramai 21 individu termasuk seorang penjawat awam yang disyaki terlibat dengan dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di sembilan buah kampung di Yan dekat sini semalam.
Operasi selama 12 jam bermula pukul 8 pagi semalam itu dilakukan di Kampung Pasir, Kampung Kuala Sedaka, Kampung Bukit Choras, Kampung Sungai Belida, Kampung Seri Perigi, Kampung Teroi, Kampung Gelam, Kampung Kepala Bukit dan Kampung Sungai Daun.
Ketua AADK Daerah Yan, Mohammad Ramli berkata, seramai 10 anggota AADK menjalankan operasi di beberapa lokasi yang menjadi sarang penagihan dadah di sekitar kawasan kampung tersebut berdasarkan risikan hasil aduan orang ramai.
“Kita berjaya menahan 21 individu termasuk seorang penjawat awam berusia lingkungan 40-an dan remaja berusia 15 tahun yang tercicir daripada sekolah masing-masing di Kampung Pasir dan tepi jalan utama Guar-Yan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, anggota AADK menghadapi kesukaran apabila ada di antara penagih dadah cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai, namun akhirnya mereka berjaya ditahan.
Menurut Mohammad, kesemua yang ditahan berusia antara 15 hingga 50 tahun itu didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine. – K! ONLINE










