JOHOR BAHRU 22 Okt. – Golongan penjaja dan peniaga kecil diminta memanfaatkan kemudahan dan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta media sosial dalam menyebarluaskan pemasaran produk mereka.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Gemilang Pasir Gudang, Annuar Rohaini berkata, mereka harus merebut peluang tersebut kerana platform ICT dan media sosial membantu mempromosikan produk masing-masing dengan lebih mudah dan cepat.
Bagi memberikan input dan perkembangan terkini, pihaknya menganjurkan taklimat tentang pembungkusan dan hak cipta kepada ahli dan peniaga kecil kawasan Pasir Gudang di pejabat Tone Excel, Taman Bukit Dahlia kelmarin.
“Kita berharap taklimat ini dapat memberi panduan dan maklumat berguna kepada para penjaja dan peniaga kecil bagi meningkatkan pasaran hasil jualan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, taklimat tersebut dihadiri kira-kira 50 penjaja dan peniaga yang turut mengakui program tersebut memberi banyak maklumat kepada mereka, khususnya peluang pemasaran menerusi ICT dan media sosial.
Pada program tersebut, para penjaja turut digalakkan untuk menghasilkan gambar dan video menarik bagi mempromosikan lagi produk keluaran mereka.
Mereka turut diberikan maklumat oleh pegawai Perbadanan Usahawan Johor tentang pentingnya hak cipta dan harta intelek supaya produk tidak diciplak oleh orang lain.
Annuar berkata, pihaknya akan sentiasa mengadakan taklimat, bengkel atau seminar bagi membantu golongan penjaja dan peniaga supaya dapat mengembangkan perniagaan mereka.











