Peningkatan kes keganasan rumah tangga amat membimbangkan - TMJ - Utusan Malaysia

Peningkatan kes keganasan rumah tangga amat membimbangkan – TMJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU  – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berharap kerajaan negeri Johor dan persekutuan akan dapat mengambil langkah serius dalam menangani kes keganasan rumah tangga.

Menurut catatan yang dimuat naik dalam laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, malam ini, Tunku Ismail bertitah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat patut menumpukan lebih perhatian dalam isu tersebut kerana bilangan kes seperti itu semakin meningkat setiap tahun.

“Saya terkejut apabila membaca satu laporan berita yang mengatakan bahawa Johor mencatatkan kes keganasan rumah tangga kedua tertinggi selepas Selangor. Terdapat peningkatan sebanyak 66 peratus dalam kes keganasan rumah tangga seluruh negara pada tahun 2016 berbanding tahun 2012.

“Malah, apa yang mengecewakan adalah ia dilakukan oleh pasangan mangsa sendiri,” titah baginda menerusi catatan berkenaan.

Tunku Ismail bertitah mangsa keganasan rumah tangga hendaklah melaporkan kejadian yang berlaku kepada polis dengan segera kerana masalah itu boleh berterusan hingga menyebabkan cedera parah ataupun kematian.

“Saya tidak mahu melihat rakyat Johor cedera teruk dan mengalami trauma akibat kes keganasan seperti ini.

“Saya berharap kerajaan negeri dan persekutuan dapat mengambil langkah yang serius dan tegas dalam menangani kes seperti ini. Malah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat patut menumpukan lebih perhatian dalam isu ini kerana kes seperti ini semakin meningkat setiap tahun,” titah baginda. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN