TAPAH – Seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan seorang pekerja stesen minyak di Sungkai dekat sini tiga minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Nuralif Shaufik Ahmad Fauzi ,25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd.Mazlan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ridwan Abdullah, 24, di stesen pam minyak Petronas Sungkai kira-kira pukul 12.45 tengah hari pada 6 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh diwakili peguam S. Kavitha.
Mohd. Harith turut menetapkan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.
Akhbar Kosmo! Rabu lalu melaporkan seorang pekerja sebuah stesen minyak di Sungkai dipukul sekumpulan lelaki akibat salah faham ketika mengisi minyak.
Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu turut menjadi tular apabila dua rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 42 saat dan satu minit 27 saat tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman CCTV itu, mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki dipercayai penunggang motosikal dari kaunter stesen minyak di dalam premis sebelum dipukul selain dibaling objek.
Susulan dari kejadian itu, lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu manakala rakannya yang berusia 40 tahun turut direman empat hari untuk membantu siasatan namun, dilepaskan dengan jaminan polis. – K! ONLINE










