KUALA LUMPUR 31 Okt. – Walaupun amaran produk biodegradasi perlu digunakan telah dikeluarkan sejak 1 Januari tahun lalu, masih ramai peniaga serta penjaja di Wilayah Persekutuan ingkar dengan arahan tersebut.
Selain sukar untuk mendapatkan stok produk biodegrasi di pasaran, ketahanan produk tersebut seperti terlalu nipis dan cepat koyak menjadi faktor mengapa peniaga serta penjaja terpaksa memilih untuk mengguna produk plastik lama.
Seorang peniaga buah-buahan, Lim Koon Sing, mendakwa, pihaknya bukan sengaja tidak mahu menggunakan plastik biodegrasi tersebut tetapi ia tidak begitu sesuai untuk meletakkan barangan yang berat.
“Jika letak buah-buahan misalnya, kita kasihan kepada pelanggan kerana barangan di dalamnya boleh menyebabkan plastik biodegrasi itu cepat koyak dan tidak tahan lasak.
“Jadi sebagai peniaga, saya berharap plastik biodegrasi ini dapat ditambah baik. Jadikannya lebih tebal namun masih murah untuk dibeli di mana-mana pasar raya,” katanya kepada Utusan Online.
Koon Sing berkata demikian sewaktu ditemui dalam satu operasi pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Ara, Bangsar, hari ini.
Seorang lagi peniaga, Norainah Mat, berkata, memang tidak banyak produk biodegrasi dijual dalam pasaran.
“Kalau ada pun, melalui orang yang menghantar secara pukal untuk dibeli peniaga di sini. Tetapi dia pun sudah lama tidak datang ke sini.
“Oleh itu, kami pakailah apa yang ada dan mana yang mudah untuk keselesaan pelanggan kami,” katanya.
Mengulas lanjut tentang isu tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), P. Chandrakant, berkata, walau apa pun alasannya, peniaga serta penjaja wajib mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Amaran tentang perkara ini sudah lama dinyatakan dan melalui operasi ini, pihak kami berharap kesedaran dalam kalangan penjual dapat dipupuk,” katanya.
Terdahulu, DBKL telah mengeluarkan sebanyak 1,371 notis amaran kepada peniaga di sekitar ibu kota atas kesalahan tidak menggunakan produk biodegradasi sejak Januari 2018 sehingga 2 Oktober lalu. – UTUSAN ONLINE










