KUALA LUMPUR – Pengurusan kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berhadapan dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan membuat suatu penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditetapkan pada 5 Disember depan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram selaku pendakwa raya bahawa terdapat beberapa dokumen yang masih belum diserahkan kepada pihak pembelaan.
Peguam Harvinderjit Singh yang bertindak bagi pihak Muhammad Shafee tidak membantah permohonan berkenaan.
Pada 3 Oktober lepas, hakim membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju supaya kes itu dipindahkan.
Pada 13 September lepas, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd. Najib Abd. Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh. – Bernama










