KUALA KANGSAR – Seorang pengurus ladang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di sini hari ini atas 15 pertuduhan memperdagangkan 15 individu termasuk dua remaja sebagai exploitasi buruh paksa dua tahun lalu.
Hakim Ahzal Fairuz Ahmad Khairuddin membuat keputusan itu terhadap L. Ganis, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Ahzal Fairuz dalam penghakimannya mendapati bahawa keterangan 25 saksi itu tiada sebarang unsur buruh paksa dalam kes berkenaan.
“Keterangan saksi termasuk kesemua mangsa mendapati mereka ditawarkan bekerja dan datang secara sukarela. Tertuduh juga mengambil berat dan menjaga keperluan asas.
“Selain itu, dakwaan mengenai tindakan tertuduh yang tidak membayar gaji, mahkamah mendapati isu itu tidak berkaitan dengan buruh paksa sebaliknya ia di bawah Akta Kerja 1955,” katanya.
Menurutnya, pihak pendakwaan turut gagal mengemukakan tiga saksi utama dalam kes tersebut.
Pada tahun lalu, Ganis didakwa memperdagangkan lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 13 dan 66 tahun iaitu M. Susila, S. Lechemy, P. Lechumy, M. Thaarsini, J. Parvathi, R. Krishthammah, K. Shanti, V. Sinaya, S. Vijayan, S. Kannaya, P. Vasudevan, R. Ponnan dan P. Sundaram dan dua remaja lelaki.
Tertuduh didakwa mengeksploitasi buruh paksa dengan ancaman dan kekerasan.
Dia didakwa melakukan kesemua pertuduhan itu di sebuah ladang di Daerah Kecil Kroh, Belukang Semang, Kampung Tasek Pengkalan Hulu antara April 2016 hingga 26 Februari 2017.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 12, Seksyen 13 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Teluk Intan turut membebaskan Ganis daripada tuduhan menculik dan menyembunyikan pasangan suami isteri yang menjadi saksi kes memperdagangkan orang dan penyeludupan migran tahun lalu. – K! ONLINE










