ALOR SETAR 26 Okt. – Proses pengundian di 10 cabang PKR di negeri ini bagi pemilihan jawatankuasa parti itu berjalan lancar dan terkawal selepas tempat mengundi dibuka pada pukul 10 pagi ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Zamri Yusof berkata, setakat ini, ahli PKR yang berdaftar sebagai pemilih dapat membuang undi dengan lancar menerusi sistem e-undi.
Katanya, proses pengundian itu melibatkan 10 cabang iaitu Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Pendang, Sik dan Baling.
“Saya harap pengundian di semua tempat mengundi berjalan lancar dan terkawal hingga ditutup pada pukul 5 petang ini,” katanya ketika ditemui di tempat mengundi Cabang Alor Setar di Pusat Kegiatan Belia Alor Setar di sini hari ini.
Beliau memberitahu, proses pengundian yang diadakan pada 22 September lalu dibatalkan dan ditunda berikutan terdapat masalah teknikal pada sistem pengundian e-undi hingga mengakibatkan berlaku kekecohan antara pengundi.
“Kali ini kita sediakan lebih banyak tablet dan membuka lebih banyak lalu untuk kelancaran pengundian termasuk di lima cabang iaitu Jerai, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu esok,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zamri berkata, pihaknya meningkatkan kawalan keselamatan dengan menempatkan lebih ramai anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di semua tempat pengundi seluruh negeri.
“Pengundian kali ini melibatkan 49,924 ahli yang berdaftar sebelum 24 Jun lalu di 15 cabang jadi kita nak pastikan proses pada hari ini terkawal dan terhindar daripada sebarang provokasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










