Pengundi berang proses undi cabang Pandan mula lewat - Utusan Malaysia

Pengundi berang proses undi cabang Pandan mula lewat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Belum pun bermula, pemilihan PKR di cabang Pandan sedikit panas apabila pengundi mula berang kerana pusat pengundian lambat dibuka pagi tadi.

Pengundi yang tiba sejak pukul 9 pagi terpaksa menunggu kira-kira hampir dua jam apabila pusat pengundian di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Taman Chempaka hanya dibuka pada pukul 10.40 pagi.

Difahamkan, proses pengundian tertangguh akibat ketiadaan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal keselamatan pusat berkenaan.

Sebelum itu, pengundi mula menjerit apabila mereka terpaksa berhimpit di luar pagar dengan ada antara mereka menyatakan telah menunggu lama kerana ada banyak urusan harian yang perlu diselesaikan.

Calon Timbalan Presiden, Mohd. Rafizi Ramli yang tiba pada pukul 10 pagi juga terpaksa menunggu untuk mengundi di cabang berkenaan.

Sementara itu di cabang Ampang, pengundian hanya bermula pukul 10.50 pagi akibat masalah teknikal.

Calon Ketua Cabang yang juga calon Naib Presiden Zuraida Kamaruddin yang tiba pada pukul 9 pagi di pusat pengundian bertindak memberi panduan kepada pengundi agar pengundian berjalan lancar.

Fasa ketiga pengundian di negeri Selangor hari ini melibatkan enam cabang iaitu Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN