GENTING HIGHLANDS – Orang ramai dinasihatkan supaya mementingkan keselamatan ketika berada di mana-mana stesen minyak kerana kecuaian boleh menyebabkan perkara yang buruk seperti kebakaran berlaku dalam sekelip mata.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PDNHEP) Negeri Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, pengguna perlu mematuhi notis larangan melakukan perkara yang berbahaya seperti mematikan enjin serta menggunakan telefon bimbit.
Katanya, notis larangan yang diletakkan di premis-premis tersebut bukanlah perhiasan sebaliknya ingin memberi peringatan mengenai bahaya yang bakal terjadi.
“Masyarakat perlu mengambil prihatin bahawa menggunakan telefon bimbit atau tidak mematikan enjin kenderaan ketika mengisi petrol boleh menyebabkan kemalangan serius jika diabaikan.
“Walaupun notis itu ditampal di semua stesen minyak namun ada sesetengah pemandu yang mengambil mudah mengenainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Mark hadir pada kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Petroleum anjuran bersama Resorts World Genting, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan PDNHEP Pahang.
Turut hadir, Pengurus Perhubungan Kerajaan Petron Fuel International Sdn. Bhd., Sa’adon Sharif, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusry Abdullah Sani, Naib Presiden Jabatan Keselamatan Resorts World Genting, Khor Hai Peng dan Naib Presiden Perhubungan Awam dan Komunikasi Resorts World Genting, Katherine Chew.
Menurut Mark, bagi meningkatkan keselamatan di semua stesen minyak, pihak berkaitan akan membuat pemeriksaan secara berkala setiap tahun di samping memberikan taklimat kepada pekerja stesen minyak mengenai kemahiran menggunakan alat pemadam api. – K! ONLINE










