Penggempur ‘2A’ jadi sandaran Malaysia - Utusan Malaysia

Penggempur ‘2A’ jadi sandaran Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 17 Okt. – Rangkaian penggempur ‘2A’, Akhyar dan Akif menjadi sandaran Malaysia untuk memburu keputusan terbaik dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 19 (B-19) yang akan memulakan kempen di Indonesia, esok.

Pengendali skuad bawah 19 negara, Bojan Hodak percaya, pengalaman luas dua pemain itu yang sudah menyarung jersi skuad senior mampu memberi kelebihan kepada pasukannya untuk melepasi peringkat kumpulan.

Malaysia diletak dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan serta China, dan hanya dua pasukan terbaik akan melayakkan diri ke peringkat kalah mati.

Pasukan negara berjaya melayakkan diri selepas menewaskan Myanmar 4-3 dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF), Julai lalu, yang menyaksikan Akhyar Rashid serta pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat menjadi watak penting untuk membantu Malaysia muncul juara.

“Saya percaya semua pemain mahu melakukan yang terbaik termasuk mereka yang telah bersama skuad senior.

“Bagi saya, pemain yang bersama skuad se­nior telah memperoleh pengalaman lebih baik dan akan memberi kelebihan kepada pasukan di Indonesia,” kata Hodak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Indonesia.

Hodak juga gembira kerana kesemua 23 pemainnya berada pada tahap terbaik, malah jurulatih kelahiran Croatia itu yakin dengan kemampuan pasukan.

“Cuma apa yang saya risaukan ketika ini kebanyakan pemain kita yang bersama skuad senior kebangsaan tidak beraksi selama 90 minit. Saya harap mereka mempunyai keupayaan lebih baik apabila beraksi dengan skuad B-19 ini,” katanya.

Bintang tengah Kedah, Akhyar, 19, dan Akif, 19, dipanggil oleh jurulatih skuad senior, Tan Cheng Hoe untuk membantu Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan. – UTUSAN ONLINE

JADUAL KUMPULAN D

SABTU

MALAYSIA lwn Arab Saudi

23 OKTOBER

MALAYSIA lwn Tajikistan

26 OKTOBER

MALAYSIA lwn China

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN