PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memukul isteri keduanya hingga cedera, April lalu.
Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Jaimi Jaya, 35, setelah dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa perbicaraan kesnya dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Turut kelihatan, kedua-dua isteri Jaimi yang berada di luar bilik bicara mahkamah.
Jaimi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya keduanya yang berumur 25 tahun dengan memukul wanita itu pada bahagian bibir, tangan dan kepala di dalam sebuah kereta di tepi jalan berdekatan Taman Puchong Utama, Puchong, di sini, pada 3.30 petang, 11 April lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Shahul Hamid memaklumkan anak guamnya menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.
“Saya mohon hukuman penjara minimum kerana ini adalah kesalahan pertama anak guam saya selain tertuduh menanggung bapanya yang sakit jantung serta mempunyai dua isteri,” katanya.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, berlaku perselisihan faham antara Jaimi dengan isteri keduanya itu sebelum wanita itu dipukul di bahagian bibir, tangan dan kepala. – Bernama










