KUALA LUMPUR 29 Okt. – Pengasuh kepada seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang koma selepas mengalami pendarahan dalam otak akibat dipercayai terjatuh ketika ditimangnya pada 10 Oktober lalu akan dituduh di mahkamah, minggu depan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu berkata, kertas siasatan terhadap kes tersebut telah lengkap dan pihaknya sudah merujuk perkara terbabit kepada timbalan pendakwaraya.
“Kami sudah merakam percakapan suspek sebelum ini dan kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, kami tidak menahan reman suspek memandangkan dia mempunyai anak kecil untuk dijaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebuah mesej tular dalam aplikasi WhatsApp dipercayai seorang datuk kepada bayi tersebut meminta orang ramai mendoakan cucunya segera sembuh akibat kejadian itu.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.10 pagi selepas mangsa dihantar ke rumah pengasuh di Sungai Pelong, Sungai Buloh.
Somu sebelum ini memberitahu, pengasuh wanita yang berusia 27 tahun itu telah diambil mengambil keterangan pada hari kejadian dan kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN ONLINE










