KLANG – Pengaruh dan jawatan seseorang calon dalam kerajaan bukan jaminan kemenangan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.
Menurutnya, perkara itu terbukti apabila beliau dapat menyaingi pencabarnya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdasarkan keputusan pemilihan setakat ini.
“Saya penganggur lawan seorang menteri (Datuk Seri Mohamed Azmin, sepatutnya masuk kubur awal, tetapi itu tidak berlaku.
“Tanggapan yang menyatakan mereka yang berpengaruh akan dapat undi adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian bagi Cabang Kapar di Kompleks Rakan Muda, Kampung Perepat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi memberitahu, beliau menjangkakan keputusan pemilihan calon Timbalan Presiden akan terus kekal sengit dengan beza antara lima ke 10 undi sahaja.
“Jika tanya saya, keputusan akan kekal sengit, apa pun kita tunggu keputusan petang ini dan ia akan menentukan perjalanan akan datang,” ujarnya. – K! ONLINE











