PULAU PINANG 29 Okt. – Seorang Pengarah jabatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan nilai lebih RM159,000.
Menurut sumber, Pengarah berusia 53 tahun itu yang juga seorang Profesor ditahan pukul 11.35 pagi ini ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di sini.
Tambahnya, suspek disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya dengan meluluskan peruntukan bagi sebuah syarikat milik adiknya untuk pembelian pelbagai barangan bagi jabatan tersebut membabitkan nilai melebihi RM159,000 antara September 2011 hingga Mei 2012.
Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan suspek akan didakwa di Mahkamah Butterworth, di sini esok. – UTUSAN ONLINE










