Penganggur didakwa bunuh bapa kandung - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa bunuh bapa kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di Kanthan Baru dekat Chemor pada awal bulan ini.

Tertuduh, You Poh Khoon, 52, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa kantonis oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Poh Khoon didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian You Su Kim, 74, di rumah bernombor 565, Khantan Baru, Chemor antara pukul 9.30 pagi sehingga 1.30 petang pada 9 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Zuraidah Mohd. Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemerhatian selama sebulan dan sebutan semula kes pada 16 November depan.

Akhbar Kosmo! pada 10 Oktober lalu melaporkan, gara-gara tidak tahan kerap dimarahi bapanya kerana menghisap syabu, seorang penganggur bertindak kejam dengan memenggal kepala warga emas itu sebelum badannya dikerat enam. 

Mayat Su Kim ditemui di dua lokasi iaitu dalam sebuah tangki kumbahan najis sedalam 1.5 meter dan dalam lubang yang digali di belakang rumahnya. Jarak tangki kumbahan najis dan lubang digali suspek ialah kira-kira 12 meter.

Kejadian ngeri tersebut disedari anak perempuan warga emas itu pada pukul 9 pagi selepas dia menemui beberapa kesan darah di tilam, bantal dan dinding rumah tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN