KETUA Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berjanji mencurahkan segala pengalamannya untuk membantu Perak menamatkan kemarau kejuaraan 18 tahun selepas kali terakhir menggenggam Piala Malaysia pada edisi 2000.
Durakovic boleh dikatakan memiliki kepakaran untuk menjulang trofi keramat bola sepak negara itu selepas pernah memenanginya ketika mewakili Selangor sebagai pemain sebanyak tiga kali dan sewaktu bergelar Jurulatih Selangor pada musim 2015.
Kini, pengendali dari Australia itu berharap dapat meraih keputusan positif menjelang aksi final Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu Football Club I (TFC I) di Stadium Shah Alam malam ini.
Kata Durakovic, atas kertas, kedua-dua pasukan dilihat sangat seimbang berdasarkan prestasi semasa dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini tetapi kelebihan lebih berpihak kepada TFC I yang dibarisi beberapa pemain berpengalaman.
“Saya rasa jurang kualiti pasukan dalam final kali ini tidak terlalu ketara dan saya harap perlawanan ini akan memberi pengalaman yang berguna buat skuad muda Perak.
“Meskipun ada dalam kalangan pemain masih kepenatan selepas mengharungi perlawanan separuh akhir yang mencabar di Kota Kinabalu, namun saya percaya semua sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik mereka,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.
Mengulas lanjut, Durakovic percaya barisan pemainnya layak untuk berada di pentas akhir kerana mempamerkan rentak konsisten musim ini termasuk meraih kedudukan kedua dalam saingan Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya akui pasukan ini berhak untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia berdasarkan kualiti yang kami pamerkan musim ini. Saya anggap tiada pasukan pilihan apabila berada di pentas final.
“Cuma, saya akui TFCI memiliki barisan pemain dan dikendalikan oleh jurulatih yang lebih berpengalaman malah, semangat mereka sudah tentu semakin membuak-buak selepas berjaya menyingkirkan pasukan hebat seperti JDT pada pusingan separuh akhir,” katanya.
Kali terakhir skuad The Bos Gaurus menjulang Piala Malaysia adalah pada edisi 2000 ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.










