PUTRAJAYA – Terpulang pada individu untuk menerima pencalonan darjah, bintang dan pingat kebesaran, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Rina yang merupakan seorang daripada lima menteri Kabinet yang menerima darjah kebesaran negeri Melaka bergelar Datuk Seri minggu lepas berkata, penanugerahan itu akan meningkatkan semangatnya untuk terus menabur khidmat dan bakti kepada masyarakat.
“Boleh beri pandangan dan pendapat. Agaknya kalau yang komen itu diberikan pangkat dia akan terima atau tolak?” katanya secara berseloroh kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Rina dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob minggu lepas.
Gelaran Datuk Seri yang diterima oleh barisan Kabinet baharu itu dipertikai segelintir pengguna media sosial yang mempersoalkan bakti mereka yang baharu lima bulan memegang jawatan selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu. – Bernama










