Penduduk terus bantah - Utusan Malaysia

Penduduk terus bantah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG 22 Okt – Tindakan Dewan Ban­daraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan pembinaan pusat penyembelihan ayam terbesar berdekatan Pasar Borong Harian Selayang, di sini terus mendapat bantahan penduduk sekitar.

Setiausaha Jawatankuasa Kerja Rayuan Membatalkan Lokasi Pusat Penyembelihan Ayam, Abdul Aziz Mohd. Alias berkata, DBKL tidak sepatutnya membenarkan kerja-kerja pembinaan itu dijalankan kerana isu tersebut masih di dalam proses Mahkamah Rayuan.

“Kami sangat kesal dengan tindakan ini meskipun pelbagai bantahan dan rundingan dilakukan termasuk demonstrasi aman, namun tidak mendapat perhatian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, tapak milik kerajaan yang digazetkan untuk parkir awam pada 2014 itu tidak sesuai dibangunkan pusat pe­nyembelihan ayam memandang­kan jaraknya hanya kira-kira 500 meter dari rumah penduduk.

“DBKL juga tidak pernah mengadakan rundingan atau perjumpaan dengan persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan dan badan pengurusan bersama dari sekitar kawasan tapak sebelum meluluskan projek kepada pemaju,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya projek itu diteruskan ia mengundang pelbagai masalah termasuk kesesakan lalu lintas, selain menambah bilangan pendatang dan peniaga asing .

Sehubungan itu katanya, per­kara itu akan dibawa kepada Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad bagi menyelesaikan isu itu segera.

Sebelum ini, DBKL memaklumkan, cadangan projek pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang Lama akan diteruskan walaupun mendapat bantahan daripada penduduk sekitar.

Projek berkenaan telahpun mendapat kelulusan semua agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini